Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat pertambahan kes bagi Kluster Tawar, Kluster Bunga dan Kluster Telaga.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tiga kes baharu dicatatkan bagi Kluster Tawar di Kedah.

"Ingin dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan kes bagi Kluster Tawar, Kluster Bunga dan Kluster Telaga.

"Terdapat tiga kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di Kedah, dua kes tersebut dikesan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran," katanya.

Ia menjadikan jumlah kes positif sebanyak 78 kes bagi Kluster Tawar.

"Sehingga 3 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 18,164 orang telah disaring dalam kluster ini. Di Kedah seramai 17,619 individu telah disaring, 67 dikesan Positif COVID-19.

"Manakala 17,415 individu negatif dan 137 masih menunggu keputusan. Di Pulau Pinang, saringan kekal 534 individu, 111 daripadanya dikesan positif COVID-19 dan 523 masih menunggu keputusan," katanya.

KLUSTER BUNGA

Kluster Bunga mencatatkan dua lagi kes baharu di Negeri Sembilan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak enam kes setakat ini.

"Sehingga 3 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 55 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan seperti berikut, Negeri Sembilan sebanyak 41 individu telah disaring.

"Dua kes dikesan positif COVID-19, 34 individu negatif dan lima lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Di Selangor, seramai 10 individu telah disaring, empat daripada dikesan positif COVID-19 dan enam negatif.

Manakala di Terengganu, seramai empat individu telah disaring dan disahkan negatif.

KLUSTER TELAGA

Satu kes baharu dicatatkan pada Khamis menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak tujuh kes setakat ini.

"Sehingga 3 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,089 orang telah disaring dalam kluster ini," katanya.

Di Kedah, seramai 2,083 telah disaring, tujuh daripada kes dikesan positif, 1401 individu negatif dan 675 masih menunggu keputusan.

Enam individu telah disaring, satu daripadanya negatif dan lima lagi masih menunggu keputusan di Pulau Pinang.

Sehingga kini, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan.