COVID-19: Konsert Super Junior, Kenny G antara yang ditangguh dan dibatal di KL

Israr Khalid
Mac 22, 2020 00:41 MYT
16 konsert dan festival di Malaysia terpaksa ditangguhkan malah ada yang dibatalkan terus.
WABAK pembunuh COVID-19 terus merebak ke seluruh dunia, dan dukacita mengetahui bahawa Malaysia negara yang paling teruk dijangkitinya di rantau Asia Tenggara ini.
Pada hari keempat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika artikel ini ditulis, ada empat kematian terbaharu menambah angka maut menjadi lapan daripada jumlah kes yang sudah melepasi 1,000 kes.
Dek kemerosotan tahap kesihatan banyak negara terkesan, konsert dan acara muzik yang sepatutnya dijadual berlangsung pada bulan lepas dan beberapa bulan mendatang terpaksa ditangguh malah ada yang batal.
Wanderland Festival di Manila, Head in the Clouds di Jakarta, VERY Festival: Spring Break di Bangkok membuat keputusan sama untuk menunda tarikh acara mereka.
Di Malaysia, ini dia 16 acara yang terkesan:
KENNY G
Sepatutnya berlangsung pada 16 Februari, ditunda ke 18 Oktober 2020. Ia akan menjadi kunjungan keempat ‘Kassim Selamat orang putih’ itu ke Arena of Stars, Genting Highlands selepas konsert pada 2012, 2015 dan 2018.
SEVENTEEN
Sepatutnya membuat konsert pada 22 February, tetapi dibatalkan terus. Penganjur, iME Malaysia mengumumkan dalam Facebook mereka bahawa venue Kuala Lumpur terpaksa dipadamkan daripada kalendar jelajah dunia kumpulan pop Korea ini. Yang sudah beli tiket, boleh tuntut kembali wang anda.
THE WYNNERS
Sepatutnya membuat persembahan pada 22 Februari, ditunda ke 12 Disember 2020. Kumpulan Hong Kong yang masyhur era 10-an ini akan beraksi di Arena of Stars, Genting Highland pada hujung tahun ini.
JAY CHOU
Sepatutnya pada 29 Februari, namun dibawa ke 22 Ogos 2020. Jay sedang dalam konsert jelajah dunia kelapannya, Carnival sebagai meraikan 20 tahun perjalanan dalam industri muzik.
ALiA
Sepatutnya berlangsung pada 1 Mac, ditunda ke 12 Jun 2020. Jelajah AliAliVe2020 Around the World -Re:AliVe- oleh kumpulan rock Jepun ini terpaksa menangguh ketibaannya di The Bee, Publika serta venue-venuenya di Asia.
SUPER JUNIOR
Sorry Sorry para peminat SuJu, konsert Super Show 8 mereka yang sepatutnya terjadi pada 1 Mac tempoh hari, ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Mereka dalam jelajah mempromosikan album studio kesembilan yang bertajuk ‘Time_Slip’.
GOT7
Kumpulan K-Pop ini terpaksa membatalkan konsert mereka yang sepatutnya singgah di Kuala Lumpur pada 7 Mac tempoh hari. Penganjur, Star Planet sudah mengesahkan bahawa pembeli tiket akan mendapat pulangan wang penuh.
RAVEENA
Sepatutnya pada 8 Mac, ditunda ke satu tarikh yang juga akan dimaklumkan kelak. Dalam muat naik di Instagram, penyanyi Amerika ini memohon maaf kepada semua peminatnya dan berkata dia akan mengumumkan tarikh baru tidak lama lagi.
RUEL
Tarikh asal 10 Mac terpaksa ditukar ke 9 September 2020. Penyanyi dan pencipta lagu dari Australia ini tetap akan datang ke Kuala Lumpur untuk konsert FREE TIME WORLD TOUR.
KIM JAE JOONG
Sepatutnya 14 Mac ini, tapi tarikh baharu konsert masih dalam pertimbangan pihak artis dengan penganjur. Peringatan untuk Jaefans, tiket yang sudah anda beli perlu dituntut semula bayarannya kerana tiket yang dibeli untuk konsert pada Mac tidak sah untuk konsert di tarikh baharu.
FESTIVAL ROCKAWAY
Festival muzik rock terbesar Malaysia yang patutnya berlangsung pada 14 dan 15 Mac ini juga masih memikirkan tarikh baharu yang paling sesuai. Bersabarlah.
STORMZY
Penyanyi rap British ini akan tetap datang pada 10 November ini, selepas tarikh asal 20 Mac terpaksa diubah untuk meneruskan jelajah dunia konsert H.I.T.H di rantau Asia. Tiket sudah habis.
MIRIAM YEUNG
Pelakon dan penyanyi Hong Kong ini dijadual kembali ke Malaysia selepas sekian lama menyepi. Konsert MY Beautiful Life yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac akan ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan nanti.
BABYMETAL
Bukan sahaja Kuala Lumpur, tetapi tarikh konsert kumpulan kawaii-metal dari Jepun ini di Bangkok, Jakarta dan Taipei juga ditukarkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan oleh pihak penganjur. Tiket yang sudah dibeli untuk konsert yang sepatutnya pada 27 Mac masih sah pada tarikh konsert baharu nanti.
KHALID
Patutnya pada 4 April, Khalid menundanya ke tarikh baharu yang juga masih dalam pertimbangan penganjur, AEG Presents Asia. Penyanyi AS ini juga dijadual mengadakan konsert Free Spirit Asia Tour 2020 di Bangkok, Singapore, Jakarta, Manila, Tokyo, Seoul, Mumbai, dan Bangalore.
TOM WALKER
Promoter konsert, Frisson 369 membuat permohonan maaf dan pengumuman di Instagram bahawa konsert What A Time To Be Alive Tour 2020 di Malaysia pada 27 Mac di The Bee, Publika terpaksa dibatalkan. Emel akan dihantar kepada pembeli tiket untuk butiran pemulangan semula wang pembelian.
Marilah kita buat konsert sendiri di rumah. #jangandegil, #kekaltenang dan sama-sama kita #hapusCOVID19.
#COVID19 #HAPUSCOVID19 #Head in the Clouds #KekalTenang #konsert #Malaysia #perintah kawalan pergerakan #PKP #VERY Festival Spring Break #Wanderland Festival