KUALA LUMPUR:Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan dalam sektor pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penyediaan penginapan membabitkan pekerja warga asing.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, perkara itu termaktud dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap kesalahan.

"Kementerian sentiasa mengambil serius perkara ini dan telah mengarahkan jabatan berkaitan untuk melakukan siasatan dan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ditetapkan.

"Kita juga telah meminta JTK untuk membuat lawatan khususnya di kawasan tapak bina yang merupakan lokasi penularan jangkitan COVID-19 kebelakangan ini.

"Selain itu, kita juga telah beri ingatan kepada kontraktor pembinaan untuk mengambil pendekatan sepatutnya dengan mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Akta 446," katanya kepada Astro AWANI di Parlimen pada Selasa.

Semalam, Kluster Teratai merekodkan sebanyak 1,064 kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja warga asing di kawasan kilang di Meru, Klang, Selangor.

Ditanya mengenai usaha Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang mewajibkan semua pekerja warga asing melakukan ujian saringan COVID-19, beliau berkata, perkara sama akan dilakukan membabitkan majikan dibawah KSM.

"Kami bersetuju untuk mewajibkan semua pekerja sektor pembinaan untuk membuat saringan ujian COVID-19 di mana pendekatan sama diambil iaitu mereka yang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan ditanggung kerajaan.

"Bagi mereka yang tidak mencarum, kos perlu ditanggung majikan masing-masing.

"Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira faktor penularan jangkitan dalam sektor pembinaan, kita akan minta Perkeso untuk membawa pasukan kesihatan ke dalam sektor pembinaan dan bukan ke makmal bagi mengelakkan jangkitan berlaku," jelas beliau.