Sarawak merekodkan lapan lagi kes positif COVID-9 hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan setakat ini berjumlah 649 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media pada Sabtu mengesahkan satu daripada kes berkenaan melibatkan kluster baharu iaitu Kluster Syarikat Pembinaan Kuching.

"Kes merupakan warganegara tempatan yang telah menjalani saringan aktif pada 24 Julai 2020 dan ujian rT-PCR beliau telah didapati positif COVID-19 pada hari ini 25 Julai 2020.

"Punca jangkitan dan pengesanan kontak rapat kes masih dijalankan," jelas kenyataan berkenaan.

Lima kontak keluarga indek kes telah disaring dan semua mereka didapati negatif COVID-19. Punca jangkitan kluster ini dan pengesanan kontak-kontak lain masih dijalankan.

Sementara itu Kluster Sentosa mencatatkan penambahan empat kes baharu menjadikan jumlah kes positif kluster ini seramai 20 orang.

"Mereka terdiri daripada dua petugas kesihatan di fasiliti tersebut, seorang pekerja syarikat swasta di fasiliti tersebut dan seorang ahli keluarga kepada kes Ke-617 yang telah disaring pada 22 Julai 2020.

"Kesemua kes-kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala," tambah kenyataan itu.

Selain itu terdapat satu penambahan kes baharu kepada Kluster Syarikat Kejuruteraan menjadikan jumlah di dalam kluster ini adalah seramai empat orang.

Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki tempatan yang pulang dari Kuala Lumpur menaiki pesawat pada 14 Julai 2020 melalui pintu masuk antarababangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), Kuching.

Lelaki berkenaan telah disaring secara rawak pada hari ke-10 setelah ketibaan dan ujian saringan rT-PCR pada 24 Julai 2020 adalah positif COVID-19. Dia juga tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

Sementara itu lima kes baru yang telah sembuh dan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini. Jumlah kematian kekal 18.