Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 116 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Jumaat, terdapat 19 kes positif baharu sdekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 8,266 kes.

Kata Dr Noor Hisham, tujuh kes positif tersebut merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara dan sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian berkenaan perkembangan COVID-19 pada Jumaat.

Katanya lagi, terdapat 51 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,610 kes yang bersamaan dengan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID- 19 adalah 1,540 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai enam kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau juga berkata, pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 116 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Perincian satu kes kematian setakat 5 Jun 2020 adalah seperti berikut :

• Kes kematian ke-166 (kes ke-7733) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mei 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 Jun 2020 jam 10.20 malam.