KUALA LUMPUR: Jumlah jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia kembali merekodkan angka lebih 12,000 apabila 12,366 kes dilaporkan sepanjang 24 jam lalu.

Menerusi ciapan di laman Twitternya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehubungan itu, jumlah kes kumulatif COVID-19 di Malaysia kini ialah 939,899.

Bagaimanapun, menurut statistik dikongsikannya, hanya 0.4 peratus atau 52 kes hari ini, berada dalam kategori 5 yang mendapat jangkitan paru-paru dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 0.3 peratus atau 33 kes pula kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen); 0.8 peratus atau 93 kes kategori 3 (jangkitan paru-paru).

Majoriti kes iaitu sebanyak 59.3 peratus atau 7,327 kes adalah pesakit kategori 1 tanpa gejala manakala 39.2 peratus atau 4,861 kes kategori 2 (gejala ringan).

Dr Noor Hisham berkata, Selangor terus mencatatkan kes tertinggi harian dengan 5,524 jangkitan.

Jangkitan baharu di negeri-negeri lain pula ialah Kuala Lumpur dengan 1,580 kes, Negeri Sembilan (970), Johor (793), Kedah (701) dan Sabah (657). 


Sementara itu, angka kematian baharu akibat COVID-19 negara merekodkan 93 kes, menjadikan jumlah kumulatif adalah 7,241 kes.

Kes sembuh pada Selasa pula adalah 7,567 kes menjadikan jumlah kes yang sembuh sepenuhnya ialah 798,555 kes.

Katanya, seramai 924 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 448 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 133,703.