Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu mengesahkan 14 lagi kes baharu positif COVID-19 dan kesemua kes terbabit merupakan kontak rapat kepada kes-26.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 50 kes.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia kini sedang memasuki gelombang kedua COVID-19 dan ia bermula dengan kes ke-23 yang kebanyakan kes jangkitan tempatan dan dalam kalangan rakyat tempatan.

“Setakat ini, 21 kes positif dikaitkan dengan kes kluster iaitu kes ke-26.

“Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak yang dijalankan sehingga kini, terdapat 215 kontak rapat yang dikesan. Daripada jumlah kontak rapat tersebut, 16 kes dikesan positif COVID-19, 19 adalah negatif dan 180 menunggu keputusan.

“Didapati lima kes merupakan kontak rapat kepada beberapa kes positif dalam kalangan 16 kes tersebut iaitu kontak rapat kes ke-26,” kata Dr Noor Hisham dalam satu sidang media pada Rabu.


Katanya lagi, ia menjadikan jumlah kes positif bagi kluster tersebut ialah sebanyak 21 kes, iaitu kes ke-30 sehingga kes ke-50.

Untuk rekod, kes ke-26 positif COVID-19 merupakan seorang pekerja Khazanah Nasional Berhad.

Kakitangan Khazanah tersebut dikatakan mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China sekitar pertengahan Januari lalu.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa siasatan berkenaan kluster kes baharu tersebut masih diteruskan.


Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata KKM dengan kolaborasi pihak swasta akan menjalankan perkhidmatan pengambilan sampel COVID-19 di rumah orang awam yang ingin menjalankan ujian pengesanan COVID-19, di mana caj akan dikenakan oleh pihak swasta tersebut.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan menyusul dalam masa terdekat.