Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali kepada dua digit berikutan terdapat 18 lagi kes baharu positif yang dilaporkan pada Jumaat.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini, ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 8,755 kes.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 92 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 18 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tujuh orang warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Daripada lapan kes penularan dalam negara, enam kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan yang diedarkan.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (6 kes) adalah :

• Sarawak: Empat (4) kes:

- Satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Umum Sarawak

- Satu kes daripada Kluster Pusat Perubatan Kuching. Kluster ini akan diperincikan di bawah

- Dua kes saringan di tempat kerja. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak

• Terengganu: Dua kes daripada Kluster PUI Pitakwa. Kluster ini akan diperincikan di bawah:

Bagi kes jangkitan dalam negara (dua kes) dalam kalangan bukan warganegara pula adalah seperti berikut:

• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu kes daripada Kluster PUI Shirala. Kluster ini akan diperincikan di bawah;

• Selangor: Satu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada Jumaat.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,541 kes (97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tiada sebarang kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.