JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru seluruh rakyat negeri itu untuk mengambil dos penggalak kedua COVID-19.

Katanya dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu bahawa kadar pengambilan dos penggalak kedua di Johor masih lagi rendah iaitu pada kadar 1.9 peratus.

Katanya pengambilan dos penggalak kedua penting, biarpun jumlah jangkitan kes positif COVID-19 di Johor masih terkawal.

"Walaupun kini kita sudah terbiasa hidup dalam era peralihan ke fasa endemik, namun kemunculan varian-varian baru seperti BA.5.2 dan B.7 serta kedudukan negeri Johor sebagai pintu masuk antarabangsa akan memerlukan rakyat negeri ini terus berjaga-jaga.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar Johor dan Malaysia terus dipelihara daripada ancaman wabak ini pada masa akan datang.

"Taklimat oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Johor (Kesihatan Awam), Dr Shahril Azian Masrom turut membayangkan bahawa situasi terkini COVID-19 tidak boleh dipandang remeh," katanya dalam hantaran di media sosial di sini, hari ini.

Pada 4 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon memaklumkan hanya 56.7 peratus penduduk Johor mengambil satu dos penggalak, berbanding 4 juta populasi negeri itu.

Susulan varian terbaharu COVID-19 yang dikesan ketika ini, Ling menyarankan rakyat negeri itu terutama mereka yang berisiko tinggi supaya melengkapkan vaksinasi.

Katanya, ia untuk mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.