KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan mesyuarat khas Imunisasi dan pengurusan pandemik bersama ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini hari ini.

Rombongan yang diketuai Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Turut bersama, Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Penasihat JPBNS Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Lawatan kerja satu hari ini dijangka memberi fokus kepada beberapa perkara mengenai pengurusan COVID-19 dan perkembangan terkini Program Imunisasi  COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini. 

Terdahulu, Dr Sim mendedahkan pihaknya juga akan berbincang dengan KKM mengenai pemberian 'booster dose’ (dos penggalak) kepada kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 di Sarawak.

Selepas mesyuarat, Khairy dijadualkan akan melakukan lawatan ke Hospital Medan MERCY - CATIE dan taklimat oleh Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Ngian Hie Ung disusuli dengan walk-about.

Beliau kemudiannya akan melawat Pusat Tabung Darah HUS dan kawasan Surgical Daycare Area  untuk bertemu dengan pesakit sebelum berangkat pulang ke ibu negara  pada jam 3.30 petang