KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia kembali menyaksikan peningkatan dengan mencatatkan 1.11 pada Ahad berbanding 1.10 pada hari sebelumnya.

Terengganu mencatatkan nilai R-naught tertinggi dengan 1.66.

Negeri dan wilayah lain dengan kadar kebolehjangkitan tinggi melebihi angka 1.0 adalah Kelantan, Kuala Lumpur, Kedah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Angka tinggi melebihi 1.0 juga direkodkan di Johor, Melaka, Perak, Putrajaya, Sarawak dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Sabah dan Labuan mencatatkan kadar kebolehjangkitan di bawah angka 1.0.


Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 13 Januari ialah 0.81, iaitu pada 3 Mac lalu.

Manakala, yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.