KUALA LUMPUR: KADAR kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di Malaysia kembali meningkat selepas menunjukkan trend menurun selama beberapa minggu.

Pada Rabu, ia meningkat kepada 0.97 berbanding 0.95 pada hari sebelumnya.

Sebanyak sembilan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Sarawak mencatat kadar tertinggi dengan 1.17, diikuti Terengganu (1.08), Pulau Pinang (1.06), Johor (1.06), Perlis (1.05), Kelantan (1.02), Pahang (1.02), Perak (1.02) dan Putrajaya (0.98).

Sementara itu, Kedah dengan kadar Rt pada 0.96, Sabah (0.95), Melaka (0.94), Selangor (0.86), Negeri Sembilan  (0.84) dan Kuala Lumpur (0.80) mencatat angka di bawah purata kebangsaan.

Labuan pula hanya mencatatkan tujuh kes baharu COVID-19.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.