Pasar Besar Seremban, diarah tutup sementara selepas dua peniaga di pasar berkenaan disahkan positif COVID-19, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin.

Menurut Zazali, kedua-dua peniaga berkenaan dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kluster Pasar Borong Selayang.

Beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan kesemua peniaga di pasar berkenaan menghentikan operasi bermula hari ini (Ahad) sehingga satu tempoh yang akan diberitahu semula kelak.

Jelasnya, menerusi siasatan dijalankan, pihaknya mengenal pasti kira-kira 20 lagi peniaga yang mempunyai kontak rapat dengan kluster Pasar Borong Selayang dan sehingga kini 15 daripada mereka telah menjalani saringan.

"Bila dimaklumkan ada kes, kita ambil langkah segera biarpun tidak diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan.

"Sebagai langkah proaktif, kita telah minta kebenaran dan kelulusan daripada kerajaan negeri untuk menutup segera pasar besar ini bagi tujuan sanitasi.

"Ini kita lakukan bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19," katanya ketika membuat lawatan di Pasar Besar Seremban yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses disinfeksi, sanitasi dan nyah kuman telah dilakukan di pasar berkenaan sebelum ini dan akan dipergiat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, notis arahan penutupan berkenaan telah dikeluarkan kepada peniaga pada lewat petang semalam.

Jelasnya, pihaknya akan cuba meminimumkan tempoh penutupan bagi memastikan penduduk setempat tidak terputus keperluan barangan basah.

Bagaimanapun, tambah beliau, keadaan itu bergantung pada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak KKM dan juga keperluan semasa.