KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 lokaliti sekitar Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Berbeza dengan Selangor, penguatkuasaan di kawasan PKPD sekitar Kuala Lumpur akan menggunakan pemasangan kawat duri dan penghadang jalan.

Ini kerana kawasan yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur adalah lebih kecil berbanding di Selangor yang mempunyai kawasan kawalan yang besar di tempat-tempat yang dilaksanakan PKPD.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar lokaliti yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur mendapati orang ramai masih lagi samar-samar mengenai prosedur operasi standard (​SOP).

Pasukan penguat kuasa yang ditemui memaklumkan, pelaksanaan SOP PKPD di Kuala Lumpur masih belum diperhalusi dan setakat ini pelaksanaannya sama seperti PKPD di kawasan-kawasan lain sebelum ini di mana penduduk tidak dibenarkan keluar.

Orang ramai di lokasi PKPD mendakwa keliru apabila SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula menetapkan sebaliknya apabila membenarkan seorang wakil keluar membeli barang keperluan dalam radius 10 kilometer. 

Malah, mereka turut memberitahu hanya mengetahui mengenai pelaksanaan PKPD di kawasan diduduki mereka menerusi media, tempoh hari.

Tinjauan seawal jam 7 pagi di pangsapuri sekitar Seksyen 2, Wangsa Maju mendapati tidak banyak pergerakan orang ramai di situ.

Namun situasi sedikit berbeza di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru, Air Panas apabila orang ramai dilihat keluar dari rumah untuk membeli sarapan. 

Daripada lapan blok di PPR Kampung Baru itu, hanya blok kediaman C dikenakan PKPD ekoran peningkatan kes secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Laluan tangga di blok tersebut ditutup dengan pagar besi selain empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan untuk mengawal pergerakan keluar masuk.

Bangunan bertingkat 17 itu difahamkan diduduki lebih 1,000 penduduk. 

Bantuan makanan disalurkan kepada setiap rumah mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagi pematuhan yang lebih teratur, dua buah khemah akan dipasang pasukan penguat kuasa di hadapan blok kediaman itu.

Lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD adalah membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2), Flat Sri Sabah, Kampung Puah, PPR Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, PPR Kerinci, Bandar Baru Sentul dan Jalan Ikan Emas.