JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Sri Pulai Perdana di sini yang bergejala atau kontak rapat dengan kes positif serta pernah hadir ke Masjid Taman Sri Pulai Perdana antara 26 Disember dan 4 Januari lepas, diminta menjalani saringan COVID-19 susulan kes aktif di kawasan perumahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, kluster baharu iaitu Kluster Pulai Perdana Tiga, dikesan hasil saringan bersasar oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru pada 6 Januari lepas berikutan terdapat beberapa jemaah masjid yang positif selepas saringan kendiri.

"Sehingga semalam, terdapat 47 kes positif dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di taman itu dengan 164 kontak sedang menunggu keputusan saringan yang dijalankan pada Ahad.

"Semua kes positif telah diisolasi, manakala kontak rapat kes yang dikenal pasti menjalani pengasingan di rumah. Fasiliti umum yang berpotensi menjadi tempat penyebaran seperti masjid serta sekolah di dalam kawasan itu juga telah dikenal pasti dan ditutup buat sementara bagi tujuan siasatan dan pengesanan kes secara berterusan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang terlibat agar mematuhi perintah kuarantin yang telah dikeluarkan.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesahkan satu tindakan kawalan dalaman dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Daerah Johor Bahru di rumah dan fasiliti berkaitan di Taman Sri Pulai Perdana.

-- BERNAMA