COVID-19: Peralihan fasa di Lembah Klang, Melaka dan Kedah mulai 1 Oktober

Astro Awani
September 29, 2021 10:38 MYT
Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 memutuskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan beberapa negeri berkuat kuasa 1 Oktober 2021.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan peralihan Fasa 2 kepada Fasa 3 di kawasan Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor.
Sementara, Melaka pula beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Kedah pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.
"Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini.
Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.
#COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #peralihan fasa #KKM