Kerajaan mengumumkan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha membenarkan pembukaan semula ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan pelaksanaan PKPB, sebahagian besar kegiatan ekonomi dan sosial akan dibenarkan kecuali aktiviti melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan risiko kepada golongan tertentu termasuk warga emas terhadap penularan COVID-19.

Selain itu, kata beliau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut akan dikuatkuasakan membabitkan kawasan zon merah.

“Saya tahu setelah hampir dua bulan mejalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam kalangan saudara-saudari ingin kembali bekerja bagi perniagaan, hendak membuka semula perniagaan, bagi penguasaha industri nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.


“Ini penting kepada saudara dan saudari kerana pekerjaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian masing-masing, kalau terlalu lama PKP maka terputuslah mata pencarian dan memberi kesan buruk kepada kewangan masing-masing,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja, di Putrajaya hari ini.

Perutusan khas itu disiarkan secara langsung di Saluran 501 dan Live TV Astro AWANI.