COVID-19: Perlis benarkan solat Aidiladha di tanah lapang

Bernama
Julai 11, 2021 02:46 MYT
Seperti perayaan Aidilfitri sebelum ini, Perlis membenarkan solat sunat Aidiladha pada 20 Julai ini dilaksanakan di tanah lapang. -Gambar fail
KANGAR: Seperti perayaan Aidilfitri sebelum ini, Perlis membenarkan solat sunat Aidiladha pada 20 Julai ini dilaksanakan di tanah lapang.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia selaras dengan sunah selain dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak COVID-19 dibandingkan solat yang ditunaikan di tempat tertutup.
"Solat akan dilaksana pada 8 pagi di tanah lapang pekarangan masjid dan bilangan jemaah yang dibenarkan bergantung kepada kapasiti luas kawasan tersebut," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bagi penyertaan yang optimum, solat boleh dilakukan secara dua sesi iaitu pada 8 pagi bagi sesi pertama dan 9 pagi bagi sesi kedua.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan seperti hujan lebat, solat boleh dilakukan di dalam masjid mengikut saiz masjid.
"Semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan," titah baginda.
Sementara itu, baginda bertitah SOP penjarakan fizikal bagi solat fardu dikurangkan kepada 1.5 meter dan aktiviti pengajian serta kuliah agama dibenarkan bermula 13 Julai ini.
-- BERNAMA
#Aidiladha #tanah lapang #Raja Muda Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #MAIPs #COVID-19 #solat fardu #Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis #jangkitan #SOP