KUALA LUMPUR: Biarpun memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang COVID-19 adalah langkah baik, namun ia juga perlu dilihat benar-benar langkah terbaik buat negara pada ketika ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, SOP sedia ada sudah lebih daripada memadai, namun, paling utama juga ialah memastikan tahap kepatuhan yang tinggi.

Menurut beliau, majoriti rakyat akan mempunyai persepsi yang negatif sekiranya SOP diperketatkan ekoran kelesuan pandemik tetapi tahap penguatkuasaan tidak sama rata.

"Kelesuan pandemik ini kita boleh kurangkan dengan mengurangkan halangan terhadap kehidupan seharian masyarakat dan paling utama sekali ialah tingkatkan komunikasi risiko.

“Pada hemat saya SOP sedia ada telah cukup bagus dan perlu diikuti. Apa yang mengelirukan masyarakat ialah tindakan setengah pihak yang diberikan pengecualian atau keringanan terhadap SOP ini.

"Paling penting sekali ialah, kita hendaklah telus dan tidak memberi isyarat bahawa polisi kita berubah mengikut keadaan,” kata pakar kesihatan awam di Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia itu lagi.

BACA: Kerajaan akan nilai semua PKP di negeri kes COVID-19 meningkat secara mendadak - Perdana Menteri

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa, khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes-kes positif COVID-19 secara mendadak.

Beliau berkata, penilaian itu penting memastikan SOP yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan pandemik itu.

Mengulas Lanjut, Dr Mohd Dzulkhairi sekali lagi menegaskan pematuhan SOP amat penting, terutamanya dalam meminimakan interaksi dengan orang luar, memandangkan terdapat kes dalam komuniti yang tidak bergejala.

“Kalau dari jangka masa pendek untuk mengekang, menurunkan penularan ialah mengehadkan interaksi, aktiviti perkumpulan, dan kita hendak sentiasa menghalang diri kita daripada berjumpa dengan orang ramai. Ini antara langkah perlu kita ambil sebagai individu, patuh pada SOP yang dikenakan.

"Kita tidak tahu siapa yang dijangkiti dan tidak dijangkit. Ini adalah kerana pada waktu ini ramai di antara kita yang terjangkit dengan COVID-19, tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya lagi.