Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Dalam satu perutusan video yang disampaikan melalui laman sosialnya, Dr Mahathir berkata, usaha mengekang penularan wabak itu memerlukan kerjasama setiap warganegara dan tidak hanya bergantung kepada satu pihak sahaja.

"Saya nampak seolah-olah rakyat Malaysia tidak serius berkenaan menangani wabak ini. Kalau kita tidak berjaga-jaga, ramai yang akan dijangkiti dan mungkin akan membawa maut.

"Sementara kita menantikan vaksin dicipta, disiplin sangat diperlukan untuk kita mengelak daripada bercampur dengan orang ramai kerana buat masa ini, inilah langkah terbaik.

BACA: COVID-19: 125 kes positif baharu dikesan, 95 berkait kluster tabligh - Dr Adham

BACA: COVID-19: PM buat pengumuman khas malam ini

"Saya harap kita semua dapat menanamkan rasa bertanggungjawab dalam usaha mengekang wabak ini daripada terus menular. Kita boleh tengok di Wuhan umpamanya, jumlah kes baharu mula berkurangan kerana mereka berdisiplin dan mematuhi arahan untuk tidak keluar rumah," kata beliau.

Biarpun sudah tidak menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau terpanggil untuk memberikan nasihat berdasarkan pengetahuan dan latihan yang diterimanya sebagai doktor perubatan.

Beliau mengakui langkah menjarakkan diri daripada khalayak​ boleh membawa kepada masalah ekonomi, namun menegaskan ia merupakan kesan yang tidak boleh dielakkan.

"Bukan negara kita sahaja yang akan mengalami kerosakan ekonomi, negara lain juga turut mengalaminya. Permintaan barangan kita berkurangan, dan mereka pula tak boleh jual barangan mereka. Ini akan menyebabkan kemerosotan ekonomi dan ia sudah berlaku.

"Pelancongan merupakan sumber kedua terbesar pendapatan negara, tetapi dengan keadaan sekarang banyak hotel, agensi pelancongan dan restoran terjejas.

"Penerbangan akan berkurangan, malah perniagaan juga tidak dapat dijalankan kerana pekerja tidak boleh datang bekerja," jelasnya.

Dalam temuramah bersama Bloomberg sebelum ini, Dr Mahathir berkongsi pendapat dengan beberapa pemimpin dunia lain yang memberi amaran bahawa kesan COVID-19 mungkin lebih buruk daripada krisis ekonomi 1997.

"Wabak ini telah mengganggu pergerakan dan rantaian bekalan. Pengguna mungkin hanya memberi tumpuan kepada produk makanan dan kesihatan.

"Jika anda melabur dan anda tidak boleh menjual, ia bukan satu pelaburan," kata beliau dalam temuramah tersebut.

Sebanyak 125 kes baharu positif COVID-19 telah dicatat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 553 kes.