KUALA LUMPUR: Petugas kaunter perkhidmatan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi di bawah kementerian itu akan diberi suntikan vaksin secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

Menter Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia selepas pihaknya mendapat kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV), baru-baru ini.

"Kelulusan yang diterima oleh JKJAV ini bakal memastikan petugas dan pegawai KDN dapat terus melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zainudin memaklumkan, sehingga 16 Jun lalu, hampir 85 peratus atau 150,934 petugas barisan hadapan di bawah kementeriannya menerima dos pertama vaksin COVOD-19, sementara 133,781 atau 75 peratus telah melengkapkan dua dos.

Mereka katanya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Penjara.

Beliau memberitahu, ia adalah bagi terus melindungi petugas barisan hadapan di bawah KDN dan memastikan kekuatan pasukan penguatkuasaan dapat dikekalkan.

Dalam pada itu, Zainudin menjelaskan PDRM meningkatkan sekatan jalan raya dengan menutup 132 jalan-jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang ramai untuk melanggar larangan rentas daerah dan daerah.

"Melalui rekod PDRM, kita mendapati sekitar 11,000 permohonan harian untuk pergerakan rentas negeri dan daerah telah diluluskan hanya bagi kes kematian, kecemasan dan bekerja sendiri," ujarnya.