PUTRAJAYA:Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 malam Rabu ini, hingga 26 Januari, 2021.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.

Ujarnya lagi, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata.

“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.

The situation today is indeed very alarming. Our healthcare system is under tremendous pressure now than at any other time since the start of the pandemic. As I have said before, unprecedented situations call for unprecedented measures,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19.

Beliau berkata, PKP ini akan melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.

“Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

KKM, katanya lagi, akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.


COVID-19: PKP di enam negeri zon merah - Perdana Menteri