KEMAMAN: Meskipun jumlah kes COVID-19 di Terengganu merekodkan angka dua digit, namun itu bukanlah alasan untuk masyarakat tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, tidak memakai pelitup muka dan berkumpul beramai-ramai antara kesalahan paling tinggi yang direkodkan di daerah itu.

Katanya sepanjang tempoh itu juga, lebih 100 keping kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Tidak pakai pelitup muka di kawasan terbuka, berkumpul beramai-ramai merupakan kesalahan.  Ketiga membawa penumpang melebihi jumlah yang dibenarkan.

"Kalau ada isu kecemasan, hanya dibenarkan dua orang tetapi mereka membawa lebih dari 3 orang, ada yang membawa hingga 5 orang," katanya.

Beliau berkata jika sebelum ini kegiatan merentas negeri dan daerah termasuk menggunakan laluan tikus antara kesalahan yang tinggi dikesan.

Namun kini trend berkenaan telah berubah menerusi pendekatan yang dilakukan termasuk menutup laluan tikus daripada dicerobohi.

Hanyan berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk dadah dan jenayah.