Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum menerima kit ujian pantas atau rapid test kit COVID-19 dari Korea yang dicadang dibawa masuk ke dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan ketika ini masih dalam proses pemerolehan melalui mekanisme Kerajaan dengan Kerajaan (G2G).

"Kami telah melakukan ujian ke atas kit ujian pantas dari Korea dan kami gembira dengan hasilnya. Namun, sekarang saya rasa ia masih dalam proses pemerolehan jadi kita tidak menerimanya lagi.

"Sekarang kita sedang melakukan Kerajaan dengan Kerajaan (G2G). Kita harap Wisma Putra akan meneruskan usaha membantu kita untuk mendapatkan kit ujian pantas berkenaan secepat mungkin," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Justeru, kedua-dua kit ujian pantas dari Korea itu dan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) akan saling memanfaatkan satu sama lain untuk melakukan ujian COVID-19.

"Kit ujian pantas dari Korea itu akan 'compliment' dengan RT-PCR. RT-PCR berada di 43 makmal dan akan ada logistik untuk menghantar spesimen.

"Jadi jika kita memperoleh Kit ujian pantas antigen, kita boleh uji kepada komuniti. Pertama, kita boleh menempatkan biosafety cabinet di lapangan terbang contohnya. Begitu juga di klinik," tambahnya.

Malah penggunaan Kit ujian pantas dari Korea juga menjimatkan masa apabila mampu memberikan keputusan ujian COVID-19 hanya dalam tempoh 30 ke 45 minit.

"Malah kita boleh lakukan ujian ke atas penumpang transit," ujarnya.