COVID-19: Sabah rekod empat kluster baharu

Bernama
Julai 23, 2021 16:27 MYT
Sabah merekodkan empat kluster baharu hari ini dengan satu daripadanya iaitu Kluster Jalan Stesen TV di Tawau yang melibatkan jangkitan di sebuah ladang ternakan ayam di Mukim Sri Tanjung. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan empat kluster baharu hari ini dengan satu daripadanya iaitu Kluster Jalan Stesen TV di Tawau yang melibatkan jangkitan di sebuah ladang ternakan ayam di Mukim Sri Tanjung, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata kluster itu yang mencatat kumulatif 68 kes dicetus kes indeks seorang lelaki bukan warganegara berusia 24 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar di ladang tersebut.
"Tiga kluster lain adalah Kluster Kampung Mananam di Tongod dengan kumulatif 20 kes, Kluster Jalan Utara 2 di Sandakan (13 kes) dan Kluster Bukit Mas di Kinabatangan (11 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi berkata Kluster Kampung Mananam merupakan kluster komuniti yang dicetus kes indeks seorang pengawal keselamatan lelaki berusia 49 tahun manakala Kluster Jalan Utara 2 pula merupakan kluster yang dicetus kes indeks seorang pesakit lelaki warga emas lelaki berusia 74 tahun di wad sebuah hospital kerajaan.
Beliau berkata Kluster Bukit Mas pula melibatkan penularan tempat kerja dengan kes indeks seorang kerani stor lelaki berusia 32 tahun di Ladang Sawit Bukit Mas.
Menurut Masidi, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah hari ini adalah sebanyak 516 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 77,940 kes manakala seramai 369 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif seramai 72,694 orang.
-- BERNAMA
#Sabah #Kluster baharu #COVID-19 #Kluster Jalan Stesen TV #Mukim Sri Tanjung #Tawau #Masidi Manjun