KOTA KINABALU:Selepas beberapa minggu mencatatkan kes yang tinggi dengan bilangan zon merah tertinggi, kerajaan berjaya mengekang penularan lebih luas wabak COVID-19 di Sabah.

Ini dapat dilihat dengan penurunan bilangan kes positif empat hari berturut-turut dengan satu daerah diletakkan di zon hijau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia adalah perkembangan yang baik apabila bilangan kes di daerah-daerah zon merah mencatatkan penurunan kes positif.

"Hari ini jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 259 iaitu penurunan sebanyak 138 kes berbanding kes yang direkodkan pada Selasa sebanyak 397 kes.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua kerana pada hari ini juga terdapat penukaran zon kes di beberapa daerah iaitu daerah Ranau bertukar dari zon jingga ke zon kuning manakala daerah Nabawan dari zon kuning ke zon hijau.



"Sejak beberapa minggu lepas hari ini kita berjaya merekodkan daerah yang diletakkan di zon hijau, tahniah," jelasnya menerusi sidang media maya yang diadakan di Kota Kinabalu pada Rabu.

Tambah Masidi susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di Sabah, beliau mengharapkan agar semua pihak dapat mengekalkan kepatuhan SOP bagi memastikan penularan wabak dapat diputuskan.

"Kerajaan telah mengambil kira faktor-faktor penting dalam meluluskan sedikit kelonggaran dalam pelaksanan SOP seperti kebenaran makan dan minum di restoran.

"Bagai mengelakkan penularan wabak, pemilik premis perlu menitikberatkan pelaksanan SOP dan pihak berkuasa akan memantau kesemua premis-premis terbabit.

"Namun jika angka kes positif COVID-19 kembali meningkat maka kerajaan akan melaksanakan semula peraturan-peraturan yang telah dilaksanakan sebelum ini," katanya.

Pada Rabu dua kes kematian dicatatkan iaitu satu di daerah Sandakan dan satu di Kota Kinabalu.

Terdapat tiga kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Karamunting di daerah Sandakan sebanyak 21 kes, Kluster Saga di daerah Kota Kinabalu sebanyak sembilan kes dan Kluster Haven di daerah Lahad Datu sebanyak 11 kes.

Tambahnya, kebanyakan kluster baharu yang direkodkan sebelum ini adalah melibatkan kes kontak rapat pesakit COVID-19 dan pada Rabu, 91 kes dari 259 kes yang direkodkan adalah dari saringan kontak rapat.