KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan kes tertinggi COVID-19 di Malaysia dengan 3,714 kes dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu kepada 134,612 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan pada Isnin mendedahkan daripada jumlah itu, 99.89 peratus kes adalah dari Kategori 1 dan 2.

Manakala 0.11 peratus atau empat kes masing-masing kategori 3 dan kategori 5 yang memerlukan bantuan ventilator.

“Sejumlah 2,555 kes dilaporkan daripada individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 dan selebihnya saringan kluster sedia ada, individu bergejala di fasiliti kesihatan.

“Empat kes hasil saringan individu yang baru pulang atau masuk dari negeri-negeri lain (Import B) Sabah (3) dan Kuala Lumpur (1),” jelas kenyataan itu.

Sementara itu 12 kematian turut dilaporkan menjadikan keseluruhan kes yang maut akibat COVID-19 di negeri itu kepada seramai 576 orang.

“Kesemua kes kematian melibatkan individu berusia di antara 41 hingga 86 tahun dengan komorbid,” katanya.

Dalam masa yang sama kemas kini jawatankuasa itu turut memutuskan untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 25 lokaliti baharu melihatkan 12 daerah di Sarawak.