COVID-19: Sarawak cecah 91 kes positif, klinik haiwan dibenar beroperasi

Nazim Chee
Mac 25, 2020 09:21 MYT
Sarawak pada Rabu merekodkan empat lagi kes positif COVID-19 - Foto: Astro AWANI
Sarawak mencatatkan empat lagi kes baharu positif COVID-19 hari ini menjadikan 91 kes keseluruhan sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lepas.
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerusi kenyataan media yang dikeluarkan jam 5.00 petang tadi.
Kesemua kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak (3) dan Hospital Bintulu (1).
Bagi kes Individu Dalam Siasatan (PUI) pula 29 kes baru dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 908 kes.
770 kes adalah negatif dan 47 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
Sarawak sehingga kini telah merekodkan 5 kematian sejak kes pertama di laporkan pada 17 Mac 2020.
Dalam pada itu JPBN Sarawak bersetuju untuk membenarkan kedai menjual makanan haiwan peliharaan atau Klinik Haiwan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Tempoh operasi bagaimanapun dihadkan bermula dari 7.00 pagi hingga 7.00 petang berkuatkuasa 26 Mac 2020.
#Bintulu #COVID-19 #Hospital #JPBN Sarawak #Kenyataan #koronavirus #Kuching #Makmal #mediak #positif #PUI #Sarawak #umum