COVID-19: Sarawak kesan kes pertama varian Delta

Shafik Ahmad
Julai 8, 2021 11:49 MYT
Dr David berkata, keputusan itu diperoleh daripada kajian dan pengesanan varian wabak COVID-19 di Sarawak.
KUCHING: Sarawak mengesan kes pertama positif COVID-19 varian Delta di negeri itu melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun.
Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam kenyataan memaklumkan, kes itu dikesan pada 18 Jun lalu dari kes import B.
Selain itu, kes melibatkan varian Beta (B1351) dan Theta (P3) juga dikesan di negeri itu.
Pengarah IHMC, Profesor Dr David Perera berkata keputusan itu diperoleh daripada kajian dan pengesanan varian wabak COVID-19 di Sarawak.
Menurutnya setakat 26 Jun lalu, jumlah kumulatif melibatkan Variant Of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 59 kes.
Dalam kenyataan sama, kata Dr David varian Beta sebelum ini dikesan sebanyak 34 kes di Kuching, manakala tiga di Bau dan Lundu, Serian, Simunjan dan Sibu masing-masing merekodkan satu kes.
Selain itu, enam kes varian Theta dikesan di Kuching, tujuh di Samarahan dan satu kes varian Eta melibatkan kes import A.
#Sarawak #Varian Delta #COVID-19 #Prof Dr David Perera #varian Beta #Lundu #Kuching