SIBU:Kerajaan Negeri Sarawak akan menanggung perbelanjaan dari sudut logistik untuk membawa keluar pesakit COVID-19 dari rumah panjang ke pusat kuarantin.

Tindakan berkenaan mengelakkan mereka terus berada di rumah panjang dan boleh menjangkiti penghuni yang lain.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) untuk mencari jalan bagaimana memperbaiki logistik di antara pusat kuarantin dan kawasan-kawasan terbabit.

"Kita tahu bahawa COVID-19 juga sudah merebak di rumah-rumah panjang dan kawasan-kawasan terpencil.

"Saya serah kepada mereka (JPBB) dan dari sudut perbelanjaannya akan ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya dalam sidang media pasca taklimat Taklimat Bersama Ketua Menteri - Keadaan Semasa COVID-19 Bahagian Sibu di sini, hari ini.

Beliau pada masa sama mahu jumlah anggota keselamatan yang bertugas di kawasan yang dikenakan sekatan pergerakan ditambah dan keutamaan diberikan kepada askar wataniah tempatan bagi memudahkan komunikasi.

"Anggota wataniah adalah dalam kalangan orang awam dan mereka juga boleh membantu kerana di kawasan rumah panjang, komunikasi adalah penting untuk kita memberi penerangan mengenai COVID-19," jelasnya

Tambahnya lagi, tempoh lima hingga enam bulan ini penting dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan di negeri itu.