Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan wabak COVID-19, sehingga kini.

Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian berikutan wabak berkenaan di Malaysia adalah 62 orang atau 1.63 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kes kematian ke-62 (kes ke-3,663) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks COVID-19 dengan perhimpunan Sri Petaling iaitu kes ke-1265, kes ke-1266, kes ke-1267, kes ke-1404 dan kes ke-2449.

“Beliau dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu pada 29 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 5 April 2020 jam 10.22 pagi,” katanya pada sidang media harian di sini pada Isnin.

Jelasnya, setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 131 kes positif baharu direkodkan di negara ini menjadikan kumulatif kes positif adalah 3,793 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 236 individu telah sembuh sekali gus menyaksikan jumlah harian tertinggi setakat ini, selain 1,241 kes didiscaj atau 32.72 peratus daripada keseluruhan kes.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, berdasarkan siasatan Kementerian Kesihatan (KKM), perhimpunan besar-besaran memberi impak secara mendadak kepada peningkatan kes COVID-19.

“Hasil siasatan terhadap beberapa kes dan kluster COVID-19, KKM ingin memaklumkan mengenai dua kluster COVID-19 yang didapati berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran.

“Pertama, persidangan keagamaan di gereja selama tiga hari yang telah berlangsung di Kuching, Sarawak.

“Setakat ini, seramai 83 orang telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini, di mana terdapat dua kes kematian (kes ke-358 dan kes ke-2471), lima kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), 50 kes sedang dirawat di hospital dan 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin, sementara satu kes discaj yang telah pulih sepenuhnya.

“Kedua, majilis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor di mana ianya merupakan satu kluster jangkitan COVID-19 yang kemudiannya telah membentuk jangkitan sehingga generasi kelima.

“Sehingga 6 April 2020, 88 kes telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini, termasuk satu kes dirawat di ICU.

“Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua kluster tersebut melibatkan jangkitan COVID-19 sehingga generasi kelima.

Justeru katanya, tindakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu adalah bertepatan bagi memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 dalam kalangan masyarakat.