Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster COVID-19 di Pengerang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit kluster berkenaan merupakan kes ke-1,508 yang mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu.

Setakat 22 April, beliau berkata seramai 15 kes positif dikesan membabitkan kluster tersebut.

Ia masing-masing membabitkan 10 orang rakan sekerja dan lima ahli keluarga pesakit termasuk ibu pesakit yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya yang berumur 10 tahun.

“Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap demam denggi.

“Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020.

“Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal. Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac 2020,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negara lain dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP.

“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

“Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di ICU,” katanya.