COVID-19: Sektor ekonomi perlu diseimbangkan jika laksana semula PKP - Pakar

Fareez Azman
Januari 9, 2021 09:31 MYT
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM dan Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, Prof Madya Dr. Yusof Shaari berkata model PKP yang lebih seimbang dari sudut kesihatan dan ekonomi itu amat perlu jika dilaksanakan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersasar terutamanya dalam sektor ekonomi sekiranya langkah itu dilaksanakan semula dalam tempoh terdekat.
Menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM dan Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi, Prof Madya Dr. Yusof Shaari, model PKP yang lebih seimbang dari sudut kesihatan dan ekonomi itu amat perlu dalam mengurangkan kesan pandemik COVID-19 kepada rakyat.
"Kita tidak pasti lagi apakah (jenis PKP), kita dengar ura-ura PKP, tapi apa bentuk PKP kita belum pasti. Kalau kita andaikan PKP hendak dilaksanakan sepertimana Mac 2020 dahulu, jika itu dilakukan, maka kita akan hadapi situasi sangat sukar.
"Secara pengalaman kita dah lihat kesan amat teruk, apabila kita laksanakan PKP pada Mac lalu, impaknya menyebabkan pertumbuhan ekonomi negatif sebanyak 17.1 peratus dan juga pengangguran meningkat 5.3 peratus. Ini memberi petanda jelas, bahawa saya kira semua orang tidak mahu dilaksanakan PKP sebagaimana tahun 2020 dahulu.
"Jadi bergerak ke hadapan dengan mengambil kira risiko pandemik dan aspek kesihatan, dalam mengimbangkan keperluan ekonomi saya berpandangan bahawa eloknya, kita melaksanakan PKP yang modelnya berbeza dengan tahun 2020," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Sabtu.
Ujarnya lagi, pendekatan PKP Bersasar itu amat perlu dalam mengambil kira keseimbangan ekonomi untuk terus berjalan disamping mengurangkan masalah pengangguran.
"Pertama kita pastikan PKP itu pasti membenarkan aktiviti ekonomi berjalan untuk mengurangkan pengangguran, kurangkan kehilangan pendapatan dan pastikan ekonomi pulih secara eloknya. Maka sektor ekonomi perlu dibenarkan berjalan, sama ada terdapat hadnya (waktu operasi) atau tidak, boleh dipertimbangkan.
"Contohnya menghadkan operasi sehingga jam 6.00 petang atau 8.00 malam, tidak lagi sehingga lewat malam. Itu contoh baik dipertimbangkan, melaksanakan PKP model Mac 2020, bukan satu pilihan kita mahukan. Kita mahukan pilihan lebih baik memastikan kesejahteraan dan ekonmomi rakkyat diambil kira jika melaksanakan PKP," jelasnya lagi.
#PKP #kesihatan #ekonomi #model #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #sekolah #kerajaan #rakyat #perniagaan #pengangguran