Selain bayaran one-off RM200 kepada 5,931 petugas di hospital negeri Selangor pada Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin, kerajaan negeri kini bersetuju untuk menanggung makanan mereka secara percuma, dengan peruntukan RM1.344 juta, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berkata, penanggungan itu akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau berkata, ia sebagai tanda penghargaan Selangor terhadap sumbangan barisan hadapan pegawai perubatan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan petugas di hospital di negeri Selangor.

BACA: Selangor tambah RM272 juta untuk perangi COVID-19 - Amirudin Shari

Selain itu, katanya lagi, Kerajaan Selangor bersetuju menyediakan peruntukan tambahan RM1.5 juta melalui Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliners kepada 2,500 keluarga yang terlibat.

Tidak dilupakan juga, katanya lagi, kepada barisan hadapan media dan akhbar yang bertungkus-lumus untuk menyampaikan fakta dan maklumat kepada rakyat.

“Untuk menghargai petugas media dan petugas keselamatan sebanyak RM100,000 akan dibelanjakan untuk menyediakan makanan percuma kepada mereka,” kata Amirudin.