Selepas kejayaan projek penghasilan alat pelindungan diri (PPE), Universiti Utara Malaysia (UUM) kembali melalui inisiatif penghasilan cecair pembasmi kuman.

Menurut Pengarah Food Security, Innovation and Development Research (FInDER), Dr Risyawati Mohamed, pelaksanaan projek itu merupakan antara usaha pihaknya dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Pengkomersilan UUM.

Projek ini diusahakan bagi membantu kumpulan petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat, anggota polis dan tentera dalam bersama-sama mencegah penularan jangkitan COVID-19.

Menurutnya, penghasilan cecair pembasmi kuman itu adalah menerusi penglibatan pihaknya bersama tiga pensyarah serta dua pelajar sarjana dan PhD di mana 500 botol cecair pembasmi kuman dapat dihasilkan dalam masa sehari.

Cecair yang dihasilkan juga mengikut spesifikasi yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di mana formula penghasilannya diluluskan pertubuhan itu.

Tambah Risyawati, cecair pembasmi kuman yang dihasilkan juga akan dibekalkan kepada golongan B40 di Kedah yang kurang berkemampuan berikutan peningkatan harga jualannya di pasaran.

"Saya rasa bangga sekali walaupun kita universiti pengurusan tapi kita tidak lupa mengorientasikan elemen sains dalam bidang pengurusan.

"Ini merupakan satu bukti bahawa universiti pengurusan juga berjaya mengeluarkan satu bahan yang sangat relevan dengan masyarakat iaitu cecair pembasmi kuman dan kelengkapan PPE.

"Semua ini kita target kepada golongan frontliners seperti polis dan pekerja hospital, begitu juga pihak B40 untuk mendapatkan hand sanitizer yang kita sedia maklum ketika ini berkurangan di farmasi," katanya.

Tambahnya, usaha untuk membekalkan cecair pembasmi kuman akan dilakukan secara berterusan walaupun tempoh PKP tamat memandangkan ia merupakan sebahagian daripada platform terbaik bagi UUM mencurahkan khidmat kepada masyarakat.