KUALA LUMPUR: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang menghentikan perkhidmatan pesakit luar sepenuhnya berkuat kuasa 9 Julai, sebagai persediaan untuk menguruskan pesakit COVID-19.

Antara perkhidmatan yang terjejas termasuk rawatan klinik pakar pesakit luar, fisioterapi dan pemulihan cara kerja.

Menurut Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi pesakit yang mempunyai janji temu di klinik pakar dinasihatkan tidak hadir ke hospital sehingga diberitahu kelak.

Pihak hospital akan memberi tarikh dan masa baharu janji temu klinik pakar serta pengambilan ubat di farmasi kepada pesakit melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

Pesakit dinasihatkan peka dengan notifikasi diberikan supaya tidak terlepas janji temu dan terputus bekalan ubat-ubatan sepanjang penutupan perkhidmatan ini.




HTAR, seperti banyak hospital lain di Lembah Klang telah menyaksikan lonjakan pesakit COVID-19.

BACA: Kesesakan pesakit COVID-19, HTAR perlu RM20 juta sekarang - Ahli Parlimen Klang

BACA: COVID-19: Pesakit ditempat di luar Jabatan Kecemasan HTAR untuk sementara - Dr Sha'ari

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Sha'ari Ngadiman sebelum ini memberi jaminan bahawa lebih banyak kakitangan akan dihantar ke HTAR.