Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (T) Padang Meiha, di sini akan ditutup selama dua minggu selepas guru dan pelajar sekolah terbabit didapati positif COVID-19.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bagi langkah awal pengawalan, pihak KKM sudah menjalankan aktiviti nyah cemar dan sanitasi di sekolah berkenaan.

Jelasnya lagi, pihak KKM turut menjalankan saringan COVID-19 ke atas semua murid dan guru sekolah terbabit.

"(Ditutup kerana) di Padang Meiha ada pelajar dan guru yang didapati positif (COVID-19) dan juga tiada pelajar yang negatif datang ke sekolah jadi sekolah itu tertutup dengan sendirinya. Sekolah-sekolah lain belum lagi. Kita tunggu KPM beri arahan," katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung MAPIM Mejar Zulhanis Zainol.

Data KKM sebelum ini mendedahkan empat kes baharu di Kulim, Kedah membabitkan seorang guru dan tiga murid (Kes 9,204 hingga 9,207) dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun (Kes 9,163) dijangkiti COVID-19.

Difahamkan mereka adalah ahli keluarga kepada kes indeks (Kes 9,113).

Kes berkenaan adalah daripada Kluster Tawar yang kini sudah memasuki generasi ketiga.