COVID-19: SSM saran orang ramai guna perkhidmatan dalam talian

Bernama
Mac 16, 2020 20:52 MYT
SSM berkata pihaknya prihatin dengan situasi yang menghalang syarikat untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh yang ditetapkan.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyarankan orang ramai yang mempunyai urusan berkaitan syarikat supaya menggunakan perkhidmatan dalam talian berbanding menggunakan perkhidmatan kaunter.
SSM dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan ia sebagai antara langkah bagi mengekang penyebaran COVID-19.
Menurut kenyataan itu, pautan bagi entiti syarikat ialah https://mycoid2016.ssm.com.my/ (MyCoID) dan https://www.ssm4u.com.my/Pages/default.aspx (MBRS).
"Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau menerusi e-mel enquiry@ssm.com.my sekiranya memerlukan penjelasan lanjut," kata kenyataan itu.
Sementara itu, SSM berkata pihaknya prihatin dengan situasi yang menghalang syarikat untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Semua syarikat digalakkan untuk mempertimbangkan opsyen lain termasuk mengadakan mesyuarat menggunakan kaedah alternatif seperti mengadakan mesyuarat elektronik di tempat yang diperuntukkan di bawah Seksyen 327 Akta Syarikat 2016.
"Syarikat-syarikat boleh membuat permohonan melanjutkan tempoh mesyuarat agung tahunan bagi tempoh masa lebih daripada enam bulan dari tahun kewangannya berakhir atas alasan seperti keperluan mematuhi nota nasihat daripada Kementerian Kesihatan, ketiadaan korum akibat COVID-19 atau keperluan mengambil langkah berjaga-jaga akibat COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kaedah alternatif #kaunter #koronavirus #Mesyuarat Agung Tahunan #mesyuarat elektronik #opsyen #perkhidmatan dalam talian #Suruhanjaya Syarikat Malaysia #syarikat #talian