KRISIS wabak COVID-19 telah menjejaskan banyak pihak di seluruh dunia sama ada entiti pemerintahan sesebuah negara, syarikat, mahupun individu.

Malaysia turut terkesan secara langsung dengan krisis ini, lebih-lebih lagi apabila kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac yang lalu.

Menurut Perdana Menteri dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Pekerja baru-baru ini, negara mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari, menjadikan jumlah kerugian keseluruhannya dianggarkan RM63 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Impak negatif ekonomi ini akan menjejaskan banyak sektor perniagaan khususnya sektor pengangkutan udara (pesawat komersial), pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Desas-desus penutupan perniagaan dan pembuangan pekerja ekoran wabak COVID-19 ini semakin hangat diperkatakan terutamanya dalam media sosial.

Natijahnya, kita menyaksikan Ramada Plaza Hotel iaitu sebuah hotel bertaraf 5 bintang dan antara hotel tertua di Melaka telah mengumumkan penutupan operasi mereka bermula 30 Jun nanti kerana operasinya yang terjejas teruk.

Maka timbul persoalan apakah entiti perniagaan di negara ini tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghadapi situasi kecemasan seperti ancaman pandemik COVID-19 ini?

Berdasarkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Federal Emergency Management Agency – FEMA) USA, terdapat empat fasa dalam pengurusan kecemasan iaitu pengurangan (mitigation), preparedness (persediaan), tindakan (response) dan pemulihan (recovery).

Oleh itu, bagi memastikan sesuatu organisasi mampu bertahan, mereka harus menyediakan pelan perancangan yang menyeluruh dalam menghadapi kesemua fasa tersebut secara efektif kerana sekitar 40 hingga 60 peratus PKS tidak dapat beroperasi semula selepas menghadapi sesuatu bencana atau krisis.

Sesebuah organisasi harus menyediakan pelan perancangan yang menyeluruh dalam  semua fasa pengurusan kecemasan secara efektif bagi memastikan sesuatu ia mampu bertahan menghadapi krisis berkenaan.

Secara dasarnya, boleh dikatakan kebanyakan entiti perniagaan di negara ini memang mempunyai pelan persediaan dan tindakan kecemasan (emergency preparedness and response plan – ERP) dalam menghadapi situasi kecemasan tertentu terutamanya ancaman kebakaran kerana ia menjadi salah satu syarat wajib yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan untuk memperolehi Perakuan Bomba dan lesen perniagaan sebelum premis mereka boleh mula beroperasi.

Namun kebanyakannya tidak menekankan fasa pemulihan (recovery) yang merupakan elemen terpenting bagi menentukan kelangsungan sesebuah perniagaan, di mana dalam fasa ini sesebuah perniagaan harus mengambil segala langkah yang perlu bagi membolehkan perniagaan mereka kembali beroperasi secara normal sesudah sesuatu krisis berlaku.

Secara ringkasnya, rata-rata entiti perniagaan tidak bersedia untuk menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat dari pandemik COVID-19 ini kerana gagal menyediakan pelan kelangsungan perniagaan (business continuity plan – BCP) iaitu satu pelan perancangan yang membolehkan sesebuah organisasi untuk bertindak balas, memulih, mengembalikan dan memulakan semula operasi mereka setelah berlakunya sesuatu gangguan (disruption) atau krisis.

Hal ini disahkan oleh Dr Edly Ferdin Ramly berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh beliau melalui audit sistem pengurusan kualiti yang dijalankan pada 2019 terhadap lebih 70 syarikat yang beroperasi di Malaysia.

Beliau yang merupakan Pengarah Persijilan di EFR Certification dan Felo Kehormat Persatuan Antarabangsa Kejuruteraan Industri dan Pengurusan Operasi (IEOM Society International) menyatakan bahawa walaupun ada beberapa syarikat yang mempunyai BCP terutamanya syarikat multinasional, namun pelan tersebut tidak mengenalpasti ganguan dari pandemik yang menyebabkan PKP dikeluarkan kepada hampir semua syarikat dalam rantaian bekalan kecuali kepada perkhidmatan perlu (essential services).

"Kesan paling besar yang dihadapi oleh syarikat pada masa ini ialah kehilangan punca pendapatan dan berkemungkinan besar menghadapi pengurangan permintaan pada fasa pasca pandemik COVID-19 nanti," tambah beliau.

Sebagai cadangan bagi menghadapi krisis COVID-19 ini atau apa-apa wabak pandemik yang mungkin berlaku pada masa akan datang, Edly mencadangkan agar semua organisasi termasuk jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan entiti perniagaan untuk membangunkan atau menambahbaik BCP sedia ada mengikut standard standard antarabangsa Sistem Pengurusan Kelangsungan Perniagaan – ISO22301 (Business Continuity Management System – BCMS), serta menjalankan pelbagai persediaan awal untuk mengurangkan risiko dan kesan terhadap apa-apa ganguan kepada kelangsungan penyampaian organisasi.

Selain itu, organisasi tersebut juga digalakkan untuk mendapatkan persijilan ISO22301 untuk memastikan sistem pengurusan kelangsungan perniagaan tersebut dibangunkan dengan berkesan.

Menurut ISO22301 versi 2019, BCP dibangunkan melalui rangka kerja sistem pengurusan kelangsungan perniagaan termasuk mengenalpasti aktiviti utama (prioritised activity), mengenalpasti jenis-jenis ganguan (disruption) dan merangka strategi untuk bertindak balas selaras dengan matlamat kelangsungan perniagaan.


* Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.