IPOH: Setelah mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menetapkan bahawa takbir raya dari rumah ke rumah tidak dibenarkan di seluruh negeri itu.

Bagaimanapun, takbir raya di semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) masih dibenarkan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata solat berjemaah, solat Jumaat, solat jenazah, solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan di kawasan-kawasan berkenaan, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Di kawasan PKP dan PKPB mengikut had ketetapan bilangan jemaah seramai 120 orang di semua masjid, surau diri Jumaat dan surau di seluruh negeri Perak,” katanya dalam pekeliling yang diedarkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Jemaah masjid dan surau di seluruh negeri.

Mohd Yusop bagaimanapun berkata bilangan itu dikecualikan bagi masjid-masjid negeri dan daerah yang dibenarkan had maksimum 250 jemaah, tidak termasuk pegawai masjid dan anggota jawatankuasa kariah dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah.

Beliau menambah, bagi masjid dan surau di kawasan PKPP pula, bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti sebenar, dengan menetapkan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah.

Di samping itu, katanya, jamuan Hari Raya selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP sahaja.

Menurutnya, ziarah kubur juga hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP tetapi terhad kepada enam orang bagi setiap petak kubur dan tidak melebihi 30 minit.

Mohd Yusop berkata semua aktiviti keagamaan itu bagaimanapun tidak dibenarkan di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD).