WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menyumbang 500 juta tambahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech kepada beberapa negara di seluruh dunia.

Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan vaksin COVID-19 negara Uncle Sam itu lebih daripada 1 bilion dos.

Presiden Joe Biden yang akan menganjurkan sidang kemuncak maya mengenai COVID-19 pada Rabu  dijangka mengumumkan butiran janji terbaharu AS itu.

Di perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, Biden memaklumkan AS telah memberikan lebih daripada 15 bilion dolar sebagai tindak balas terhadap COVID-19.

AS membeli 500 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan memberikannya melalui platform perkongsian vaksin global Covax.

AS mendorong para pemimpin global untuk menyokong sasarannya mengakhiri wabak COVID-19 termasuk memastikan 70 peratus penduduk dunia divaksinasi pada tahun 2022.