KUALA LUMPUR:Kerajaan disarankan supaya menangguhkan semua program rasmi membabitkan menteri Kabinet berikutan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan kes positif dalam kalangan pemimpin negara.

Bagi majlis yang tidak dapat ditangguhkan pula, Pakar Epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Marlina Osman berpendapat, ia perlu diadakan tanpa majlis jamuan makan dan minum.

“Untuk masyarakat awam, elakkan untuk makan (dan) minum yang memerlukan pelitup muka dibuka di tempat sesak.

“Ambil langkah berhati-hati serta sentiasa patuh pakai pelitup muka atau kuarantin diri sendiri jika perlu," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI, pada Isnin.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi pemimpin terbaharu yang disahkan positif COVID-19.

Zulkifli sebelum ini dilaporkan berada di Sabah untuk menyertai program ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), selain turut menghadiri beberapa program lain selepas pulang ke Semenanjung.

Selain Zulkifli, beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut dilaporkan positif COVID-19 selepas membantu jentera parti berkempen dalam PRN Sabah, baru-baru ini.

Setakat Isnin, sebanyak 432 kes baharu dilaporkan di negara ini, sekali gus menjadi angka paling tinggi direkodkan, setakat ini.

Daripada jumlah kes baharu, sebanyak 429 kes adalah kes penularan tempatan, smenatar tiga lagi kes import.