KUALA LUMPUR:Kilang dan tapak bina terus menjadi ‘lubuk’ penularan koronavirus maut, COVID-19 apabila laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan masih banyak kluster baharu dikesan daripada kedua-dua tempat kerja berkenaan.

Kluster baharu ini, antaranya, sama ada hasil saringan bersasar, hasil saringan kontak rapat, hasil saringan individu bergejala dan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

Berdasarkan perangkaan KKM, untuk sepanjang tempoh rangkuman TERKINI mingguan Bernama (6 Feb-12 Feb), dua negeri yang sering muncul di tempat teratas dalam senarai kluster tempat kerja (KTK) adalah Johor dan Selangor.

Pada 12 Februari, Johor merekod lima (5) lagi kluster baharu tempat kerja. Antaranya Kluster Jalan Besar Pontian, melibatkan sebuah kilang di Jalan Pontian, Pontian Besar. Setakat 12 Februari, 64 kes positif COVID-19 dikesan.

Pada 9 Februari, Kluster Senai City Lapan, hasil saringan bersasar sebuah kilang di Jalan I-Park Sc 8, Taman Perindustrian I-Park SAC, Senai, Kulai merekod sebanyak 114 kes positif.

Sementara Selangor pada Jumaat menambah dua (2) lagi KTK, antaranya, Kluster Tapak Bina Pantai Dalam yang merekod 94 kes positif COVID-19 setakat 12 Februari, hasil saringan bersasar pekerja sebuah tapak bina.

Pada 6 Februari, Kluster Industri Kampung Baru, melibatkan daerah Petaling, Selangor, hasil saringan bersasar tiga (3) buah kilang di Kampung Baru, Sungai Buluh, merekod 167 kes positif COVID-19.

KKM juga melaporkan kluster baharu yang dikategorikan sebagai komuniti, keagamaan dan kumpulan berisiko tinggi (KBT).

Kluster baharu yang dilaporkan turut melibatkan syarikat perkhidmatan, syarikat pembersihan, pusat pentadbiran awam, pusat perubatan termasuk pusat dialisis, pusat jagaan, pusat pengajian, pusat beli belah, ladang dan pusat tahanan.

Untuk tempoh rangkuman TERKINI mingguan (6 Feb-12 Feb), KKM melaporkan sebanyak 86 kluster baharu dan 69 atau 80.2 peratus daripadanya adalah kluster tempat kerja (KTK). Johor menyumbang 23 (33.3 peratus) KTK daripada 69 KTK sementara Selangor merekod 22 (31.9 peratus) KTK.

Kemunculan ketara KTK dikaitkan dengan program saringan yang dijalankan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan, bermula 1 Disember 2020.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 6 Feb-11 Feb 2021 adalah seperti berikut:-

Sabtu 6 Feb - 12 kluster baharu, 11 daripadanya KTK;

Ahad 7 Feb - tujuh (7) kluster baharu, tiga (3) daripadanya KTK;

Isnin 8 Feb -  13 kluster baharu, 11 daripadanya KTK;

Selasa 9 Feb - 12 kluster baharu, 11 daripadanya KTK;

Rabu 10 Feb - 11 kluster baharu, tujuh (7) daripadanya KTK;

Khamis 11 Feb - 17 kluster baharu, 13 daripadanya KTK.

Jumaat 12 Feb - 14 kluster baharu, 13 daripadanya KTK.

Secara keseluruhannya, setakat 12 Februari 2021, terdapat sebanyak 484 kluster di Malaysia yang masih aktif dan dipantau.


KES HARIAN BAHARU DIJANGKA STABIL

Setelah dikejutkan dengan kes harian baharu COVID-19 melebihi 5,000 tiga hari berturut-turut, iaitu pada 29 Jan 2021 ( 5,725 kes), 30 Jan 2021 (5,728 kes) dan 31 Jan 2021 (5,298 kes), secara keseluruhannya sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini, jumlah kes harian baharu semakin stabil.

Paling melegakan apabila negara mencatat kes harian baharu sebanyak 2,764 kes pada 9 Februari, setelah kes harian baharu berlegar sekitar purata 3,000 hingga 4,000. 

Kali terakhir Malaysia mencatat kes harian baharu sekitar 2,000 adalah pada 13 Januari iaitu 2,985 kes dan setelah itu, kes harian baharu terus berlegar antara tiga dan 4,000.

Pada Jumaat 12 Februari, jumlah kes positif baharu seperti diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan penyakit COVID-19 di Malaysia, adalah sebanyak 3,318 kes, terdiri daripada 3,311 kes penularan tempatan dan tujuh (7) kes import.

Daripada 3,311 kes penularan tempatan, 1,673 kes ( 50.5 peratus ) melibatkan warganegara, sementara 1,638 kes peratus (49.5 peratus) bukan warganegara.

Dengan 3,318 kes baharu, jumlah kes kumulatif CIVID-19 di Malaysia kini melonjak kepada 258,306 kes, dan kes aktif dengan kebolehjangkitan pula sebanyak 51,579 kes.

Untuk rekod, kes harian baharu sepanjang rangkuman mingguan 6 Feb hingga 11 Feb 2021 adalah 3,487 (6 Feb), 3,731 kes (7 Feb), 3,100 kes (8 Feb), 2,764 kes (9 Feb), 3,288 kes (10 Feb),  3,384 kes (11 Feb) dan 3,318 kes (12 Feb).

Kes sembuh sehingga 12 Februari adalah sebanyak 3,505 kes dan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada COVID-19 kini sebanyak 205,774 kes (79.7 peratus).

Rekod kes sembuh sepanjang 6 Feb hingga 12 Feb 2021 adalah 1,692 kes (6 Feb), 3,369 kes (7 Feb), 2,340 kes (8 Feb), 3,887 kes (9 Feb), 1,929 kes (10 Feb), 3,774 kes (11 Feb) dan 3,505 (12 Feb).

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 11 Februari meminta kerjasama semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu menurunkan jumlah kes harian baharu COVID-19.

Beliau membuat permintaan itu dengan berkongsikan laporan Institut Health Metrics and Evaluation (IHME) yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang membuat ramalan pada Januari 2021 bahawa kes harian baharu COVID-19 di Malaysia akan meledak sehingga 20,000 kes sehari dari 3 Mac 2021.

“Semoga kita bersatu menewaskan virus ini dan mengenepikan perbezaan serta kepentingan peribadi. Kita mesti kekal fokus untuk memerangi virus ini dan melakukan yang terbaik untuk negara, Lindungi golongan yang lemah dan orang-orang yang kita sayang. Duduklah di rumah dan jaga diri dengan selamat sepanjang cuti perayaan (Tahun Baharu Cina) yang panjang ini,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau melaporkan pada 11 Februari 2021, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 11 Februari 2021 untuk seluruh negara adalah 0.88. Ini berbanding Ro/Rt 0.99 pada 5 Februari 2021.

Dengan rekod kes kumulatif 258,306 , Malaysia kini berada di tangga 49 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Equador (262,213 kes) dan Belarus (263,551 kes).

Negara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga 84 dengan 89,748 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 94 dengan 59,777 kes.


LAPORAN KLUSTER KKM

Sehingga Jumaat 12 Februari 2021, jumlah kluster COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 962 kluster dan 478 kluster daripadanya, diisytihar tamat.

Jumlah kluster masih aktif adalah sebanyak 484 kluster dan 83 kluster daripadanya, merekod pertambahan kes baharu. Tiga kluster yang dilaporkan menambah kes baharu tertinggi pada 12 Feb adalah Kluster Jalan Seelong (326 kes), Kluster Tanjung Suria (258 kes) dan Kluster Selambau (136 kes).

Kluster Jalan Seelong melibatkan daerah Kulai di Johor, hasil saringan bersasar pekerja sebuah syarikat.

Kluster Tanjung Suria melibatkan daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Huu Selangor di Selangor, hasil saringan bersasar tempat kerja melibatkan dua (2) buah kilang.

Kluster Selambau pula melibatkan daerah Kuala Muda di Kedah, hasil saringan bersasar pekerja kilang yang menetap di Bukit Selambau.

Sementara itu, sebanyak 14 kluster baharu dilaporkan Jumaat, melibatkan 13 kluster tempat kerja dan satu (1) kluster komuniti.

Antara KTK yang merekod kes positif COVID-19 yang tinggi ketika dijalankan saringan adalah Kluster Jalan Perindustian Getah yang melibatkan daerah Kulai, Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor. Kluster ini adalah hasil saringan pekerja sebuah kilang di Senai Industrial Estate, Kulai. Setakat 11 Februari, daripada 193 individu yang disaring, 102 kes dikesan positif COVID-19.

Pada 8 Februari, antara kluster menambah kes baharu yang tinggi adalah Kluster Industri Serkam yang mencatat 329 kes pada hari tersebut. KTK ini melibatkan daerah Jasin dan Melaka Tengah, Melaka, hasil saringan bersasar sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam, Merlimau. Sehingga Ahad 7 Februari, sebanyak 800 kes dilaporkan positif.


PERINCIAN KES COVID-19 DI MALAYSIA

Menurut perincian KKM terhadap 3,318 kes positif yang dilaporkan pada 12 Februari, Selangor kekal menyumbang kes harian baharu terbanyak 1,214 kes, iaitu 489 kes daripada kluster sedia ada, 367 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, satu (1) kes import dan 357 kes daripada saringan lain. Terdapat dua kluster baharu, Kluster Tapak Bina Damar dan Kluster Taman Industri.

Johor merekod 742 kes dan menambah enam kluster baharu, Kluster Jalan Seelong, Kluster Jalan Perindustrian Elektronik, Kluster Jalan Besar Pontian, Kluster Perindustrian Pelepas, dan Kluster Ladang Pekan. Satu (1) kes import.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 374 kes dan satu kluster baharu, Kluster Tapak Bina Pantai Dalam dan lima (5) kes import; Kedah 188 kes dan satu kluster baharu, Kluster Selambau; Pulau Pinang 149 kes; Sabah 118 kes; Negeri Sembilan 118 kes; Perak 99 kes dan tiga (3) kluster baharu, Kluster Jalan Jelapang, Kluster Jalan Perusahaan Tiga dan Kluster Kampung Teluk.

Sarawak 83 kes; Kelantan 79 kes dan satu kluster baharu, Kluster Pangkal Changgong; Terengganu 72 kes; Melaka 45 kes dan satu (1) kluster baharu, Kluster Teknologi Berendam; Pahang 30 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya enam (6) kes dan Wilayah Persekutuan Labuan satu (1) kes.

Sementara itu, sebanyak 258 kes COVID-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan 119 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 17 kes kematian dilaporkan pada 12 Februari, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 953 kes (0.37 peratus),

Malaysia mencatat jumlah kes kematian tertinggi pada 8 Feb iaitu 24 kes. Sebanyak 21 kes melibatkan warganegara dan tiga (3) kes bukan warganegara.

Kebanyakan kes pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai komplikasi kesihatan, sebahagian besarnya strok, darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung. Terdapat juga kes penyakit dislipidemia, dementia, asma, obesiti dan anemia.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah 12 kes (6 Feb), 15 kes  (7 Feb), 24 kes (8 Feb), 13 kes (9 Feb), 14 kes (10 Feb), 13 kes (11 Feb) dan 17 kes (12 Feb).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dibahagi kepada tiga fasa yang akan memberi manfaat kepada 80 peratus atau 26.5 juta rakyat Malaysia di mana vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama melibatkan barisan hadapan (pertugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan) bermula Mac depan sehingga April 2021.

Fasa kedua (April hingga Ogos 2021) pula melibatkan sekitar 9.4 juta orang termasuk kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula yang dijadualkan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

PKP2.0 yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari, kini disambung sehingga 18 Februari 2021 untuk semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.


STATISTIK GLOBAL COVID-19

Jumlah kes COVID-19 global terkini sebanyak 108,359,664 kes (minggu lalu  105,502,306 kes) dengan 2,380,497 kematian (minggu lalu 2,296,454 kes kematian). Jumlah pesakit sembuh 80,560,520 kes (minggu lalu 77,344,628 kes).

Terdapat 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes COVID-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 28,002,240 kes (486,922 kematian), India 10,880,413 kes (155,484 kematian), Brazil 9,716,298 kes (236,397 kematian), Rusia 4,042,837 kes (79,194 kematian), United Kingdom 3,998,655 kes (115,529 kematian), Perancis 3,406,685 kes (80,803 kematian), Sepanyol 3,041,454 kes (64,217 kematian), Itali 2,683,403 kes (92,729 kematian), Turki 2,564,427 kes (27,187 kematian) dan  Jerman 2,321,215 kes (64,513 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 berada di tempat 84 dengan 89,748 kes dan kes kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 81 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes COVID-19.

Indonesia di tangga 19 dengan 1,201,859 kes dengan 32,656 kematian; Filipina di tangga 31 dengan 545,300 kes dan 11,495 kematian.

Myanmar minggu ini melaporkan 141,522 kes dengan 3,184 kematian di tangga 74 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,777 kes di tangga 94 dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 24,279 kes dengan 80 kematian, di tangga 114;  Vietnam mencatat 2,140 kes di tangga 169 dan angka kematian kekal 35; Kampuchea mencatat 479 kes di tangga 187 dan sifar kematian.

Tiada perubahan kes COVID-19 di Brunei 141 kes dengan 2 kematian di tangga 193 sementara kes COVID-19 di Laos sebanyak 45 kes dan sifar kematian di tangga 200.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

RUANGAN SISI

LATAR BELAKANG COVID-19

-- Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

-- Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

-- Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

-- WHO memberi nama rasmi virus "2019-nCoV" iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

-- Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

-- Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

-- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

-- WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

-- Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

-- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression

-- Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.

-- Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.

-- Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-- Di UK, varian baru COVID-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan  70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.

-- Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai "501Y.V2". pada awal Oktober 2020.

-- BERNAMA