BANGKOK: Thailand merekodkan 1,547 kes baharu COVID-19 dan dua kematian dalam tempoh 24 jam lepas yang menjadikan jumlah jangkitan di negara itu sebanyak 40,585 kes serta 99 kematian.

Jumlah terkini kes baharu itu menjadikan Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes harian COVID-19 dalam tiga hari berturut-turut.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada 1,547 kes baharu itu, 1,544 adalah penularan tempatan yang termasuk 1,316 orang yang mendapat rawatan di hospital manakala 228 lagi melalui pengesanan kes aktif.

Beliau berkata tiga kes import dilaporkan termasuk satu dari Malaysia dan dua dari Oman.

"Bangkok mendahului senarai dengan jumlah kes tertinggi pada 279 kes diikuti dengan Chiang Mai (140), Chonburi (99), Prachuap Khiri Khan (58) dan Samut Sakhon (37).

"Dalam penularan terkini, Thailand mencatatkan lebih 10,000 kes dalam seminggu. Merebak ke Bangkok dan 76 wilayah," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Thaweesilp berkata dua kematian melibatkan lelaki berusia 38 tahun dari Wilayah Tak dan seorang lagi 51 tahun yang bekerja di sebuah syarikat di Pathum Thani.

Sementara itu, Thaweesilp menggesa pesakit supaya memaklumkan sejarah kemungkinan terdedah kepada COVID-19 setelah lebih 100 petugas perubatan di negara ini yang terpaksa menjalani kuarantin setelah menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Bangkok Post melaporkan, 105 petugas perubatan di Hospital Khon Kaen menjalani kuarantin kendiri setelah pesakit tidak memaklumkan keadaan mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit disahkan positif. Pihak hospital terpaksa berhenti menerima kes yang dirujuk dan juga menutup sementara dua wad perubatan serta satu wad pediatrik.

Di Narathiwat, Hospital Naradhiwas Rajanagarindra melaporkan enam petugas perubatan disahkan positif COVID-19 setelah dijangkiti daripada pesakit yang gagal memberikan maklumat mengenai sejarah mereka.

-- BERNAMA