JAKARTA: Ibu negara Indonesia, Jakarta  diburu kebimbangan ekoran jumlah jangkitan baharu wabak COVID-19 di kota raya itu kembali melonjak dengan 4,144 kes direkodkan pada Khamis.

Ekoran peningkatan ketara, pakar kesihatan dari Universiti Indonesia, Tri Yunis Miko Wahyono mencadangkan kepada kerajaan agar segera melaksanakan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) atau lockdown dalam usaha menghentikan penyebaran COVID-19 di bandaraya itu.

"Tiada jalan lain kecuali lockdown, itu sahaja cara terbaik untuk menghentikan penularan COVID-19,” kata Tri seperti dilaporkan portal berita Kompas pada Jumaat.

Kata Tri lagi, pendekatan lockdown sebelum ini seperti protokol kesihatan dan tidak membenarkan aktiviti sosial sudah tidak lagi efektif memandangkan sudah terbukti pengawasan sangat sukar dilakukan.

Bagaimanapun, Tri tidak yakin pemerintah Jakarta bersedia untuk melakukan lockdown di kota kerana kuasa untuk melaksanakannya terletak di tangan kerajaan Pusat.

Manakala, kerajaan Pusat pula, tegas beliau, tidak akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan itu kerana memikirkan soal pergerakan ekonomi.

“Pemerintah (Pusat) tidak akan melakukan lockdown kerana ekonomi, tapi kes (COVID-19) akan terus bertambah,” kata Tri lagi.

Pada Khamis, jangkitan baharu COVID-19 di Jakarta direkodkan sebanyak 4,144 sekali gus menjadikannya lonjakan tertinggi sejak pandemik itu menular di negara berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Bahagian Pencegahan dan Pengendalian Penyakit, Jabatan Kesihatan Wilayah Jakarta, Dwi Oktavia berkata, sebelum ini angka jangkitan harian tertinggi yang pernah direkodkan di Jakarta ialah 4,213 kes pada 7 Februari lalu.

Dengan pertambahan jumlah pesakit baharu sekali gus menjadikan kes COVID-19 yang aktif di Jakarta ketika ini ialah sebanyak 22,611 yang telah menyebabkan katil di wad-wad hospital penuh.

Sementara itu, Komander Lapangan di Rumah Sakit Darurat COVID-19 Wisma Atlet, M Arifin meminta Gabenor Jakarta, Anies Baswedan menguatkuasakan kawalan aktviti sosial masyarakat.

Tegas beliau, PSBB amat diperlukan memandangkan jumlah pesakit yang positif COVID-19 dan dirawat di Wisma Atlet meningkat secara drastik.

"Saranan saya perketat dahulu PSBB seminggu dua ini biar sampai nanti landau lekuk (jumlah jangkitan baharu) dan biar kami boleh fokus menangani pesakit dengan baik," kata Arifin.

Minggu lalu, seorang lagi pakar kesihatan dari Universiti Griffith Australia, Dicky Budiman menilai penularan wabak COVID-19 Indonesia seperti yang sedang dilalui di India.

“Peringatan tegas untuk Indonesia ialah kita sekarang dalam fasa mirip India di mana masyarakat mengabai dan tidak acuh (kepentingan mematuhi prosedur operasi standard),” kata Dicky seperti dilaporkan portal detik.com.

Tegas beliau, antara tindakan berdisiplin rakyat Indonesia ialah gagal mematuhi protokol kesihatan.