KUALA LUMPUR:Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakakan (PKP) tidak mengekang orang ramai daripada berbelanja.

Malah, pengguna lebih terdorong untuk berbelanja di dalam talian.

Ketua Bahagian Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li berkata perubahan trend pengguna itu mendorong perniagaan, termasuk dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk beralih kepada platform e-dagang bagi memudahkan proses urus niaga.

Li berkata trend tersebut menunjukkan peningkatan ketara apabila 200 juta barangan terjual menerusi platform Shopee ketika Jualan Hebat 11.11 yang mencatatkan peningkatan tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Apa yang sangat menarik ialah disebabkan PKP dan ramai yang duduk di rumah, kami melihat orang ramai membeli banyak makanan ringan.

“Dari segi makanan ringan, kami menjual setengah juta unit makanan ringan seperti Milo dan keperluan lain seperti pensanitasi tangan dan lain-lain.

“Terdapat pertumbuhan penjualan yang mendadak terutamanya pada Jualan Hebat 11.11.

"Persoalannya, adakah pembelian atas talian tersebut merupakan pengganti kepada jualan luar talian?” katanya pada satu sidang media secara atas talian pada Rabu.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh berkata perbelanjaan penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan  ekonomi negara pada 2021.

Ia dijangka akan merangkumi sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Justeru, Goh berkata sektor peruncitan dan perkhidmatan luar talian perlu peka akan kepentingan e-dagang dalam persekitaran pandemik COVID-19.

“Sebenarnya, pertumbuhannya sangat cepat, sangat tinggi berbanding sebelum wabak.

"Berdasarkan beberapa kajian, ia menunjukkan apa yang dicapai dalam lima tahun, mereka dapat melakukannya dalam masa beberapa bulan.

“Oleh itu, saya fikir untuk perniagaan mikro dan perniagaan lain, anda harus mengambil perhatian bahawa ini adalah trend untuk persiapkan perniagaan anda untuk masa hadapan.

“Ia penting untuk mendidik diri sendiri, mempersiapkan diri untuk apa yang akan datang pada masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, bagi terus memanfaatkan potensi pertumbuhan ekonomi digital, perniagaan boleh menggabungkan strategi luar talian dan dalam talian berdepan sebarang perubahan dalam trend perbelanjaan pengguna.