PUTRAJAYA : Mana-mana individu yang dijangkiti dan sedang menjalani kuarantin di kediaman atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dipakaikan gelang peranti pengesanan berteknologi tinggi mulai 11 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, turut akan dipakaikan gelang pengawasan berkenaan adalah Individu Dalam Pengawasan (PUS) dan disyaki berkontak rapat dengan pesakit COVID-19 (PUI).

Katanya, jenis alat peranti akan dimaklumkan secara terperinci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pelaksanaan pemakaian gelang tersebut termasuk dalam Seksyen 15A, iaitu lima peruntukan baharu dan dan lima peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dimasukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

"Untuk mereka tiga kategori ini sama ada diberikan perantin pengesanan teknologi terkini ataupun gelang tangan pengawasan jika mereka berada di hospital.

Untuk gelang pengawasan ini hanya digunakan kepada mereka yang berada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau rumah.

"Ini kerana bila kita buat pengawasan di rumah menggunakan peranti tersebut, ia akan lebih mudah. Tetapi kalau di hospital, kita gunakan gelang tangan atau gelang pengawasan seperti di hospital,"  katanya dalam dalam sidang media pada Rabu.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Di bawah Ordinan  Seksyen 15A, penalti akan dikenakan ke atas individu jika alat peranti pengesanan dimusnahkan, dirosakkan atau diubah.

Selain seksyen tersebut, peruntukan baharu termasuk Seksyen 21A - Arahan Ketua Pengarah; Bahagian IVA - Penguatkuasaan; Seksyen 22A - Kesalahan Oleh Pertubuhan Perbadanan; Seksyen 31 - Kuasa Membuat Peraturan-Peraturan

Manakala lima pindaan perntukan sedia ada adalah; Seksyen 2 (1) - Taksiran Pegawai Diberi Kuasa; Seksyen 2 (1) - Tafsiran Pegawai Kesihatan Persekitaran; Seksyen 10 - Kehendak Supaya Memberitahu Tentang Penyakit Berjangkit dan Seksyen 24 - Penalti Am dan Seksyen 25 - Pengkompaunan Kesalahan.