KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu COVID-19 hari ini iaitu di Sabah, Perak dan Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan Kluster Atap di Kota Kinabalu, Sabah; Kluster Bah Lada, Perak dan Kluster Bah Sahabat, Terengganu. 

Bagi Kluster Atap, kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12880) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 4 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

"Saringan kontak rapat telah mengenalpasti tiga lagi kes positif COVID-19. Sehingga 9 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 49 individu telah disaring. 

"Empat kes dikesan positif COVID-19, 36 individu negatif dan sembilan individu masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 pada Jumaat. 

BACA: Kes baharu COVID-19 masih tiga digit: Ini lima tumpuan sidang media KKM

BACA: COVID-19: 6 kematian, 354 kes baharu dilaporkan hari ini

Manakala, kes indeks Kluster Bah Lada, Perak (iaitu kes ke-12374 kes ke13978) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 3 Oktober 2020 dan 6 Oktober 2020. 

Mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

"Saringan kontak rapat telah mengenalpasti dua (2) lagi kes positif COVID-19. Sehingga 9 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 41 individu telah disaring. Keputusan saringan  mendapati empat kes dikesan positif COVID-19, 31 individu negatif dan enam individu masih menunggu keputusan," tambahnya. 

Kluster Bah Sahabat Terengganu telah dikenal pasti di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-10766 dan kes ke-10767) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 25 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

"Saringan kontak rapat telah mengesan lapan (8) lagi kes positif COVID-19. Sehingga 9 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 88 individu telah disaring. 

"Keputusan saringan  menunjukkan 10 kes dikesan positif COVID-19, 34 individu negatif dan  44 individu masih menunggu keputusan," ujar beliau lagi. 

Selain tiga kluster itu, terdapat 14 kluster aktif lain yang mempunyai kes positif COVID-19 pada hari ini: 

• 22 kes daripada Kluster Ramai-Ramai;
• 13 kes daripada Kluster Benteng LD;
• Tujuh (7) kes daripada Kluster Tembok;
• Tujuh (7) kes daripada Kluster Penjara Reman;
• Lima (5) kes daripada Kluster Tujuh Serangkai;
• Empat (4) kes daripada Kluster Laut;
• Empat (4) kes daripada Kluster Bah Sintok;
• Dua (2) kes daripada Kluster Selasih;
• Dua (2) kes daripada Kluster Tanamera;
• Satu (1) kes daripada Kluster Bangau-Bangau;
• Satu (1) kes daripada Kluster Jalan Meru;
• Satu (1) kes daripada Kluster Pulau;
• Satu (1) kes daripada Kluster Benteng PK; dan
• Satu (1) kes daripada Kluster Bah Puchong.

Sementara itu, KKM turut menjelaskan mengenai definisi kontak rapat dan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Kata Dr Noor Hisham, HSO akan diberikan kepada:

1) Individu yang mempunyai gejala ringan dan tidak memenuhi kriteria bagi kemasukan ke wad iaitu Patient Under Investigation (PUI); atau 

2) Individu yang tidak mempunyai gejala, namun mempunyai sejarah perkaitan epidemiologi seperti kontak rapat kepada kes yang dijangkiti COVID-19 iaitu Person Under Surveillance (PUS).

Kontak rapat kepada kes positif COVID-19 merupakan individu yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan siasatan lapangan dan penilaian risiko yang dijalankan.

Kontak rapat merupakan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kes positif COVID-19.

Ini meliputi individu yang bersemuka secara langsung dengan pesakit COVID-19 pada jarak yang kurang daripada 1 meter atau individu yang mempunyai kontak fizikal dengan kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari dari tarikh jangkitan.

Antara individu yang dikesan sebagai kontak rapat meliputi:
 
• Anggota kesihatan yang memberi perawatan kepada kes COVID-19 yang positif tanpa menggunakan alat perlindungan diri (PPE) yang lengkap; ATAU 

• Ahli keluarga yang tinggal serumah dengan kes positif COVID-19; ATAU

• Individu yang duduk berdekatan (kurang 1 meter dengan kes COVID-19) misalnya di pejabat atau di dalam kelas; ATAU

• Individu dikesan mengembara bersama atau duduk dengan jarak yang dekat (kurang daripada 1 meter) dengan kes positif COVID-19 sepanjang tempoh perjalanan. 

• Individu yang pernah berhubung dengan kes positif namun tidak tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat tidak akan diberikan HSO.

"Walau bagaimana pun individu ini dinasihatkan untuk menjalani kuarantin kendiri (self quarantine) dan
memantau status kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 14 hari serta mengamalkan nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan oleh KKM," kata Dr Noor Hisham lagi.