JEMPOL: Ketua Kampung Orang Asli (Tok Batin) Kampung Panchor di sini, yang menjadi individu pertama di kawasan itu menerima suntikan vaksin COVID-19, menjadi contoh terbaik bagi meyakinkan masyarakat Orang Asli untuk bersama-sama menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

John Baharin Ayom, 55, berkata sudah menjadi tanggungjawab beliau sebagai ketua masyarakat di kampung itu untuk meyakinkan penduduk agar tidak percaya dengan dakwaan tidak berasas berkaitan vaksin.

"Saya berharap selepas kami menerima suntikan ini, ia dapat mengubah persepsi mereka tentang vaksin.

"Penduduk di kampung saya masih takut dengan vaksin," katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol pada Rabu.

Beliau serta tiga lagi ahli keluarganya merupakan kumpulan Orang Asli pertama di daerah itu yang menerima suntikan vaksin dos pertama.

Katanya pendekatan petugas kesihatan serta pegawai-pegawai daerah ke kampung Orang Asli untuk membantu mendaftar serta memberi suntikan vaksin terus kepada penduduk adalah cara terbaik untuk menyegerakan pemberian vaksin itu.

Penyelaras COVID-19 Pusat Kesihatan Daerah Jempol Dr Ismul Adham Zaini pula berkata hanya 133 daripada 2,280 Orang Asli di daerah itu telah mendaftar untuk penerimaan vaksin.

Katanya bagi mempercepat proses vaksinasi itu, petugas kesihatan akan bergerak ke kampung terlibat untuk memberikan suntikan vaksin kepada penerima.

-- BERNAMA