COVID-19: Trump ucap tahniah kepada Muhyiddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 8, 2020 14:14 MYT
xxxxKedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global. - Facebook Muhyiddin Yassin
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi panggilan telefon pada Jumaat malam.
Menerusi panggilan telefon itu, Trump mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin yang kini menerajui kerajaan baharu Malaysia dan menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
“Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik COVID-19, serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.
"Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik tersebut ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global,” kata Muhyiddin yang berkongsi momen tersebut di laman Facebook rasminya pada Jumaat.
Antara yang turut dibincangkan termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin COVID-19 kelak.
Kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #ekonomi #kerajaan #kesihatan #koronavirus #Malaysia #menteri #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #presiden